MMToon

SIAPA PEREMPUAN DALAM BILIK HOTEL ITU?

Ehsan pening kepala. Dia sudah tidak tahu bagaimana ingin terangkan lagi kepada sahabatnya.

Sebelum ini sudah beberapa kali dia cuba jelaskan dengan memberi pelbagai bukti. Namun rakannya, Shamir tetap tidak percaya malah ada ketika dia mengusik dengan kata-kata yang tidak masuk akal.

“Kenapa pula aku hendak tipu kau? Aku cakap betullah! Lagipun tak ada untungnya aku berahsia bagai,” kata Ehsan geram.

Di hujung talian Shamir hanya ketawa mengekek. Dalam hati dia masih ragu-ragu akan kebenaran kata-kata rakannya itu. Dia cuba lagi cuba untuk mengorek rahsia.

Habis, kalau kau cakap jujur, perempuan mana pula yang aku nampak malam tadi? Takkan housekeeping yang masuk bilik kau malam-malam buta?”

“Alah, cakap sajalah terus terang yang kau bawa awek pergi kursus ini. Lagi mahu sorok-sorok dengan aku! Kalau kau beritahu jujur pun bukannya aku nak tackle awek kau,” kata Shamir tertawa.

Ehsan terus tukar topik perbualan. Dia sudah malas hendak bertekak dan bertegang urat dengan sahabatnya itu. Lantaklah apa yang dia teka dan fikir, janji dia tahu apa yang dia buat.

Selepas tamat perbualan di telefon, Ehsan rebahkan badan di katil sambil memikirkan apa yang dikatakan Shamir tadi.

Sudah dua malam berturut-turut rakannya itu meneka dia ada membawa wanita masuk ke biliknya. Semua itu berpunca ketika dia membuat panggilan video dengan Shamir malam semalam.

Kata Shamir, dia nampak kelibat seorang wanita ketika sedang berbual, malah ketika dia sedang baring juga Shamir beritahu nampak wanita tersebut mundar-mandir berdekatannya.

Ehsan tanya lagi, jika betul ada wanita di biliknya bagaimana pula dengan rupanya? Cantikkah atau hodohkah dia? Shamir kata dia tidak nampak dengan jelas, tapi yang dia perasan wanita tersebut berambut separas bahu dan memakai dress berwarna putih seakan baju tidur.

Ehsan yang tidak berpuas hati dengan penjelasan Shamir ketika itu terus menghalakan kamera telefon bimbitnya di sekeiling bilik, bertujuan memberikan bukti memang tiada sesiapa di biliknya.

Kau tengok ni aku halakan kamera aku di serata bilik ini, apa yang ada? Usahkan pompuan, segala beg, pakaian dalam bilik ini pun semua aku punya! Perempuan celah mananya pula yang wujud?,” kata Ehsan sinis.

Namun Shamir tetap tidak percaya, katanya nanti bila dia balik semula ke pejabat dia akan tunjukkan segala bukti. Ehsan garu kepala yang tidak gatal, pening dia fikirkan.

Tapi Ehsan teka Shamir sengaja ingin menakutkannya. Mentang-mentanglah dia kena hadiri kursus nun jauh di pedalaman, sengaja dia hendak cari pasal untuk menakutkan dirinya. Dia ingat dengan cerita rekaannya itu dia akan percaya bulat-bulat.

Ahh, dia sudah malas hendak fikir. Esok pun sudah tamat kursus dan balik semula ke ibu kota. Jadi, lebih baik dia selesaikan segala urusannya di sini sebelum bertolak pulang.

Malam itu merupakan malam terakhir dia menginap di hotel tersebut. Sekali lagi dia dia sengaja membuat panggilan video dengan Shamir. Kali ini dia rancang hendak mengenakan rakannya itu. Biar Shamir tahu yang dia bukanlah seorang yang penakut.

“Haa, kau buat apa itu? Apa barang duduk seorang di rumah, baik duduk hotel macam aku ini, sudah tentu ada peneman,” kata Ehsan tertawa kecil.

Shamir mencebik di hujung talian. Geram juga dia dengan sahabatnya itu. Akhirnya pada malam terakhir barulah hendak mengaku yang dia memang ada bawa peneman di hotelnya.

Untunglah ada peneman. Patutlah beria hendak pergi kursus hari itu,” kata Shamir memperli.

Mereka bersembang panjang sehingga lewat malam, pelbagai cerita mereka kongsikan masing-masing tidak sabar untuk berjumpa semula di pejabat esok kerana banyak perkara yang ingin dibualkan.

Lusanya Ketika Ehsan Kembali bertugas di pejabat, Shamir datang ke mejanya. Dari riak wajahnya Ehsan tahu pasti ada sesuatu yang ingin dikongsikan oleh teman baiknya itu.

“Hah, lain macam saja aku tengok kau ini. Ada apa-apa surprise ke? Tanya Ehsan sebaik Shamir menarik kerusi duduk di sebelahnya.

“Beb, beritahulah aku siapa awek yang temankan kau di hotel itu? Alah, aku bukan hendak cerita dengan sesiapa pun. Ini rahsia antara kita saja,” kata Shamir perlahan.

Mata Ehsan liar memandang sekeliling, risau pula kalau kata-kata Shamir itu menarik perhatian rakan-rakan lain di sekeliling. Terus dia merapatkan mulutnya ke telinga Shamir.

“Kau ini lurus bendul sangatlah beb. Mana ada perempuan yang temankan aku di hotel itu. Aku main-main sajalah. Itu pun kau hendak percaya,” kata Ehsan sambil tertawa kecil.

Shamir telan air liur, terus dia keluarkan telefon bimbit dari sakunya dan menunjukkan beberapa gambar yang telah diambilnya sebelum ini.

Tergamam Ehsan apabila melihat satu persatu gambar yang ditunjukkan Shamir. Ada gambar di mana dia sedang duduk berbaring tetapi nampak sosok seorang wanita di sebelahnya dengan rambut separas bahu.

Ada gambar lain pula yang memperlihatkan sosok tersebut sedang berdiri kabur membelakangkannya dan beberapa keping gambar lain dari sudut yang berbeza.

Tergamam Ehsan melihatnya. Jantungnya terus berdegup kencang, Mulutnya terkunci seakan hilang kata-kata.

“Ini yang sempat aku screenshot, sebenarnya banyak lagi tetapi aku fikir cukuplah beberapa keping ini untuk aku tunjukkan sebagai bukti,” kata Shamir perlahan.

Ehsan diam tanpa jawapan. Dia tidak tahu bagaimana untuk menjelaskan situasi tersebut kepada Shamir. Yang pasti dia sendiri tidak tahu menahu perihal kewujudan wanita tersebut di biliknya.

Jadi, adakah selama dia bermalam di situ wanita tersebut menemaninya? Dan yang paling bermain di benaknya siapakah gerangan wanita tersebut? Adakah hantu atau jelmaan? Ehsan gugup tanpa jawapan.

Kisah seram ini telah diterbitkan di akhbar Mingguan Malaysia. Ilustrasi janaan AI

MMToon dimiliki oleh Media Mulia Sdn. Bhd. yang memegang hak cipta dan menerbitkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo! dan Kosmo!Ahad
Tidak dibenarkan menerbitkan semula dalam sebarang bentuk atau dengan apa-apa cara, termasuk fotokopi, rakaman, atau lain-lain kaedah elektronik atau mekanikal
tanpa kebenaran pihak MMToon dan Media Mulia Sdn Bhd.

Hak cipta terpelihara © 2026, MMTOON Media Mulia Sdn. Bhd. 201801030285 (1292311-H)
error: Content is protected !!