
TEMPOH empat tahun berkhidmat sebagai pembantu pemandu van jenazah di Kuala Lumpur, membuatkan Ismail (bukan nama sebenar) sudah lali dengan suasana sunyi, bau kapur barus dan perjalanan jauh menghantar jasad ke kampung halaman si mati.
Namun ada satu kenangan yang tidak dapat dilupakan oleh lelaki berusia 40 tahun itu ketika ingin menghantar jenazah dari Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu.
Kongsi Ismail, perjalanan bermula sekitar pukul 11 malam untuk menghantar jenazah seorang lelaki tua yang meninggal dunia sebab sakit tua ke kampung halaman.

Gangguan bermula ketika mereka memasuki laluan kawasan hutan yang panjang dan gelap, Ismail pada mulanya terdengar ada bunyi bising seperti besi yang terseret di jalan.
“Masa itu saya fikir ekzos van jenazah jatuh, jadi minta rakan pemandu, Abang Rahman untuk berhenti tetapi dia tidak mahu. Dia nak teruskan pemanduan sehingga tiba di kawasan R&R.
“Bunyi itu jadi semakin kuat dan ada bau hangit seperti benda terbakar. Saya mula cemas tetapi Abang Rahman tetap nampak tenang dan teruskan pemanduan seperti tiada apa berlaku.

“Kemudian, saya memberanikan diri membuka sedikit cermin kecil yang memisahkan tempat duduk depan dengan ruang jenazah untuk melihat keadaan jenazah yang dibawa.
“Dalam keadaan cahaya samar, saya melihat keranda sedikit terbuka dan menampakkan bahagian kepala jenazah seakan-akan bergerak seperti orang yang sedang meronta-ronta,” katanya kepada CitaRasa baru-baru ini.
Tanpa berlengah, Ismail cepat-cepat menutup semula cermin itu dan membaca ayat-ayat suci sebelum tiba-tiba van terasa berat seolah-olah membawa beban yang jauh lebih berat daripada satu jasad.

“Kemudian, kami berhenti di R&R dan meminta tiga orang ahli keluarga yang mengiringi dengan kereta membantu untuk bersama-sama memeriksa keadaan jenazah.
“Bagaimanapun keadaan jenazah dan penutup keranda berada dalam keadaan baik dan tidak bergerak, tetapi saya sedar riak wajah ahli keluarga saling berpandangan antara satu sama lain seperti sudah mengetahui apa yang berlaku,” kongsinya.
Namun selepas 30 minit meninggalkan R&R, terdengar bunyi bising di tempat jenazah bersama bau busuk memenuhi segenap ruang pemanduan membuatkan Ismail nekad melihat ke belakang dari cermin kecil tadi.

“Masa itu terkejut saya tengok seperti bentuk tubuh manusia berwarna hitam sedang duduk mencangkung di atas keranda dalam keadaan kepalanya tunduk dan rambut panjang menutup wajah.
“Saya menjerit panggil nama Abang Rahman dan dia pun memperlahankan van dan kedengaran membaca surah-surah pendek.
“Mata saya masa itu masih melihat ke arah makhluk hitam itu yang perlahan-lahan mengangkat kepala dan menunjukkan wajah pucatnya, mata hitam kosong tanpa putih dengan mulut ternganga luas seperti ingin menjerit tapi tiada suara.

“Cepat-cepat saya tutup cermin kecil itu dan terus memasang bacaan al-Quran dan perlahan-lahan bunyi bising dan bau busuk itu hilang,” katanya.
Sepanjang perjalanan, mulut Ismail dan Abang Rahman tidak berhenti-henti membaca doa sehingga tiba di rumah keluarga arwah.
Setelah selesai segala urusan pengebumian, ahli keluarga jenazah memohon maaf kepada Ismail dan Abang Rahman serta mengakui sedar ada gangguan-gangguan misteri yang berlaku sepanjang perjalanan.

“Mereka minta maaf dan mereka kata ada juga menerima beberapa gangguan seperti kereta berbau kapur barus serta ada suara-suara halus berkata “aku tak mahu balik berulang kali.”
“Katanya sewaktu hayat, arwah ada ‘memelihara’ sesuatu yang tidak sepatutnya dan bertentangan dengan agama Islam. Disebabkan ‘benda’ itu sudah dipisahkan daripada tuannya, maka makhluk itu pun mula mengganggu orang lain.
“Jadi, sebagai mukmin seharusnya kita hanya bergantung kepada Allah dan bukannya melakukan perkara syirik atau mengamalkan ilmu hitam semata-mata untuk meraih keuntungan,” nasihat Ismail saat mengakhiri cerita.
